GOSIP HIBURAN TERKINI


Thursday, May 21, 2015

Finalis Kilauan Emas, Elji Dipinggirkan Akibat Buta Sebelah Mata

Elji

Penyanyi Elji mendedahkan pernah berasa hati apabila rakan-rakannya mula menjauhkan diri selepas dia terlibat dengan kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan sebelah matanya buta.

Dalam kemalangan yang berlaku 17 tahun lalu itu, mata sebelah kiri Elji tidak lagi berfungsi selepas tertusuk kaca menyebakan dia terpaksa menggunakan mata palsu.

Elji atau nama sebenarnya Wan Muhammad Logan Wan Abdul Rahman, 44, berkata, lebih menyedihkan apabila kontraknya bersama syarikat rakaman Polygram pada ketika itu terpaksa dibatalkan.

"Selepas kemalangan, di tambah pula mata sebelah kiri sudah tiada, saya seperti putus harapan. Kontrak bersama syarikat rakaman dibatalkan serta-merta. Kemudian kawan-kawan pula mula hilang. Ketika itu baru saya sedar siapa kawan dan lawan.

"Keadaan itu membuatkan saya sedih dan tiada keyakinan diri untuk meneruskan hidup," katanya kepada mStar Online.
Elji ditemui selepas tamat konsert separuh akhir Kilauan Emas musim kelima yang diadakan secara langsung di Pusat Konvesyen CIDB di sini pada malam Rabu. Ia disiarkan menerusi saluran Astro Prima (132) dan Mustika HD (134).

Elji semasa membuat persembahan pada separuh akhir Kilauan Emas 5 pada Rabu.

Dalam pertandingan itu Elji serta tiga rakannya yang lain berjaya melangkah ke peringkat final yang akan diadakan di lokasi sama pada Rabu minggu hadapan.

Sementara itu, kata Elji, sejak meminggirkan diri dari dunia glamor, dia banyak bertukar-tukar kerja untuk mendapatkan keserasian selain menyanyi di kelab-kelab malam.

Kemudian Elji beralih menjadi peniaga telefon bimbit dan emas Korea. Dan pada tahun 2005, Elji menubuhkan kumpulan Enava namun ia gagal mendapat perhatian peminat muzik tempatan.

"Selepas kegagalan bersama kumpulan Enava, saya tetap meneruskan perniagaan macam biasa. Kemudian apabila mendapat tahu mengenai uji bakatKilauan Emas 5, saya terus pergi tanpa memberitahu isteri. Malu rasanya jika gagal sekali lagi.

"Tetapi selepas berjaya sehingga ke peringkat separuh akhir program ini, semangat saya semakin memuncak dan mulalah macam-macam idea yang mucul di fikiran untuk mengukuhkan kembali kerjaya seni ini. Apatah lagi saya melihat ramai peminat mula menyokong saya," ujarnya.

Kata Elji, memandangkan dia mempunyai banyak koleksi lagu ciptaannya sendiri, dia mengambil kesempatan populariti yang baru diraih itu untuk menarik balik perhatian penggiat-penggiat muzik tanah air.

Terdahulu, Elji juga pernah mencipta sebuah lagu runut bunyi bagi drama Cinta Yang Tertinggal yang dinyanyikan oleh Marsha Londoh pada dua tahun lalu.

Elji kini mempunyai tiga orang anak iaitu Wan Nor Sakinah, 14, Nor Hidayah, 12 dan Wan Muhammad Taufiq, 7, hasil perkahwinannya denhgan Haslina Majid, 42.

mStar Online

0 comments:

Post a Comment